Kes Solar Rosmah Selesai Minggu Depan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 2 Disember ini bagi pengurusan kes pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan tuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam prosiding sebutan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn memberitahu Mahkamah Tinggi, perbicaraan kes rasuah membabitkan projek tenaga solar bagi sekolah luar bandar di Sarawak yang dihadapi Rosmah sudah hampir selesai.

Ditanya Hakim Mohamed Zaini Mazlan sama ada pendakwaan yakin bahawa perbicaraan itu (kes solar) boleh diselesaikan minggu hadapan, Yih Tinn berkata, ia boleh selesai paling lewat pada awal November.

Mahkamah sebelum ini melapangkan tarikh perbicaraan kes pengubahan wang haram itu yang sepatutnya bermula pada 6 Julai lalu, bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes rasuah membabitkan projek solar.

Tarikh perbicaraan sebelum ini pada Mei juga tidak dapat dilangsungkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak COVID-19.

Dalam prosiding sebutan itu, Rosmah diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi tuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntuk hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah juga didakwa gagal mengemuka penyata pendapatan seperti diperuntuk Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab munasabah, yang bertentangan Seksyen 112 akta sama. – BH Online

Loading...