KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan terhadap Rafizi Ramli berhubung penganjuran Ekspo Negaraku 2017 berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini selepas Naib Presiden PKR itu mohon maaf.

Permohonan maaf itu dibacakan oleh peguam Abdul Halim Abdul Karim yang mewakili Rafizi dan direkodkan oleh Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

Mahkamah memerintahkan Rafizi membayar kos RM20,000.

Peguam Datuk M Reza Hassan hadir mewakili Abdul Rahman manakala Abdul Rahman dan Rafizi tidak hadir.

M Reza ketika ditemui berkata saman itu berjaya diselesaikan secara baik dan kedua-dua pihak sudah menandatangani penghakiman penyelesaian.

Menurutnya, antara terma penyelesaian adalah Rafizi bersetuju untuk membayar RM20,000 dan permohonan maaf itu dibacakan di mahkamah

Pada 30 Januari lalu, Abdul Rahman sebagai plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Mohd Rafizi sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Abdul Rahman mendakwa pada 10 November 2017, defendan melalui status di laman Facebook miliknya memaklumkan akan mengadakan sidang media bagi mendedahkan penyelewengan membabitkan seorang menteri.

Rafizi didakwa mengadakan sidang akhbar pada 11 Disember 2017 yang bertajuk ‘Skandal Baru UMNO Menteri Mana Pula Yang Kena?’ di pejabatnya di Sungai Besi di sini yang turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook miliknya iaitu Rafizi Ramli@rafiziramli.keadilan. – BH Online

Loading...