Kes Samun: 19 Lelaki Geng Emi Keju Didakwa

SELAYANG – Seramai 19 lelaki Geng Emi Keju yang giat dalam kegiatan samun sejak 2013  didakwa di Mahkamah Sesyen di sini tadi atas pertuduhan menganggotai dan membantu kumpulan jenayah terancang. 

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mereka yang dituduh adalah Zairy Huzaimy Md Akhir (Emi Keju), 32, Muhammad Khairuddin Osman, 25, Amirul Rezky Md Akhir, 23, Muhamad Norrazak Azmi, 29, Jazli Jamal, 24, Mohamad Habib Abdul Jabar, 33, Abdul Rahman Mohamed Daud, 29, Muhammad Neshril Rustam, 31, Makmur Saleng, 32.

Selain itu, Muhammad Ikmal Aizam Azwan, 18, Muhammad Nur Farhan Sutarman, 25, Muhammad Arif Aiman Mohd Rasol Ambia, 21, Farizuwan Baharom, 25, Nor Azuwan Hafifi Md Akhir,  28, Mohamad Firdaues Azwani, 26, Affandy Hardey, 38, Muhamad Imran Abdullah, 23, Mohammad Kahirul Azhar Abdullah, 26, dan Mohamad Yusuf Mat Nasir, 28.

Mengikut pertuduhan, 18 daripada mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Emi Keju’ di Lot 3576 Kampung Indian Settlement, Jalan Bunga Raya 3, Batu Caves, di Gombak, di antara 25 Januari 2017 dan 23 Julai 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi Mohamad Yusuf, dia didakwa telah membantu ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Emi Keju’ di Warta Lama Pasar Borong Selayang, dekat sini antara 22 Disember 2017 dan 23 Disember 2017.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohd. Izhanudin Alias.

Sementara itu, sembilan tertuduh diwakili peguam iaitu Rajsurian Pillai, Tan Teck Yew, Arif Azami Hussein, Azman Abdullah dan Gerard Lazarus, manakala 10 tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin kerana kesalahan di bawah SOSMA merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Hakim Syafeera Mohd. Said menetapkan 9 Oktober untuk sebutan semula kes. Kesemua tertuduh dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

Mahkamah menetapkan 9 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Loading...