Kes Rosmah Dipindah Ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR – Kes pengubahan wang haram dan kegagalan membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melibatkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Bagaimanapun, tarikh sebutan kes di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik menjadi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan perkara tersebut ketika sebutan kes di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.

Terdahulu, pada 29 November, hakim telah membenarkan kes tersebut didengar dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.

Rosmah yang diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.33 pagi.

Turut kelihatan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama anaknya, Mohd. Ashman.

Rosmah berdepan 17 pertuduhan berhubung aktiviti pengubahan wang haram dan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada 4 Oktober lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN. – K ONLINE

Loading...