Kes Pukul, Pelawak Dibebas Dengan Jaminan Polis

SEREMBAN – Pelawak terkenal tanah air yang dipercayai memukul dan menendang seorang pengawal keselamatan dalam kejadian pertengkaran di Taman Acacia,…

SEREMBAN – Pelawak terkenal tanah air yang dipercayai memukul dan menendang seorang pengawal keselamatan dalam kejadian pertengkaran di Taman Acacia, Nilai di sini malam kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata arahan itu dikeluarkan mahkamah selepas polis membuat permohonan untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Seremban.

“Permohonan reman terhadap pelawak itu ditolak mahkamah dan dia dibebaskan dengan jaminan. Bagaimanapun kes tersebut masih diteruskan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Pelawak tersebut tiba ke mahkamah jam 8.30 pagi bersama tahanan lain dengan menaiki trak polis.

Sebelum itu dia ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ketika hadir untuk memberi keterangan jam 5 petang semalam.

Mohd Nor Marzukee berkata, dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, artis itu yang memandu Proton Perdana memasuki kawasan perumahan tanpa kebenaran selepas mengekori kenderaan seorang penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

“Selepas itu pengawal keselamatan menutup palang pos keselamatan dan mengejar kereta pelawak terbabit. Selang beberapa minit dia ingin keluar dari perumahan tersebut dan mendapati palang ditutup.

“Dia kemudiannya turun dari kenderaan sebaik sahaja mangsa sampai lalu berlaku pertengkaran. Dia dipercayai menumbuk muka mangsa sebanyak tiga kali selain menendang pinggang serta membaling batu,” katanya. – Sinar Harian

Loading...