Kes Kebakaran Sepang: Belum Ada Lagi Tangkapan

POLIS telah mengambil keterangan daripada anggota keluarga, jiran dan pemilik rumah sewa untuk siasatan membabitkan kematian dua penjawat awam dalam satu kebakaran di rumah teres setingkat di Taman Desa Vista, Sepang, pada 28 Januari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, polis fokus melakukan siasatan secara menyeluruh kes itu untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita buat siasatan secara fokus, memang kita ada mengambil keterangan daripada saksi seperti jiran, keluarga mangsa termasuklah pemilik rumah terbabit.

“Siasatan masih lagi berjalan dan setakat ini belum ada lagi tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Kejadian kebakaran di sebuah rumah sewa kira-kira 1.00 tengah hari itu telah meragut nyawa Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dan Norwahidah Abdul Hamid, 28, yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya.

Berdasarkan laporan awal bedah siasat sebelum ini mendapati ada unsur jenayah pada mangsa wanita selepas didapati terdapat kesan hentakan benda keras di kepala Norwahidah manakala Wan Mohd Baharul dipercayai mati kerana lemas akibat asap kebakaran. – BERNAMA

Loading...