Kes HFMD Tunjuk Trend Menurun

PUTRAJAYA – Bilangan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara menunjukkan trend menurun sejak dua hari lepas,…

PUTRAJAYA – Bilangan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara menunjukkan trend menurun sejak dua hari lepas, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, sebanyak 710 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara semalam, melibatkan penutupan tiga buah taska, 10 buah tadika/pra-sekolah dan beberapa kelas di lima sekolah seluruh negara.

“Diharapkan (kes HFMD) akan terus menurun mengikut telahan pakar-pakar yang memerhatikan kes HFMD ini yang telah pun meragut dua nyawa setakat ini,” katanya pada sesi town hall bagi HFMD, di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata secara keseluruhannya, sebanyak 47,880 kes telah direkodkan sejak 1 Jan hingga 9 Ogos lepas, melibatkan penutupan sebanyak 701 premis.

Bagaimanapun, katanya kes HFMD ketika ini berbeza dengan kali terakhir wabak itu menular di negara ini pada tahun 1990-an, yang menyebabkan 30 kematian pada ketika itu.

Dr Dzulkefly berkata walaupun wabak itu menunjukkan trend menurun, Kementerian Kesihatan terus giat menjalankan sesi town hall bagi mempromosikan amalan langkah pencegahan penyakit HFMD kepada pengusaha dan guru taska, tadika dan prasekolah.

“Dua kematian (akibat HFMD) adalah satu peringatan supaya kita tidak ambil mudah wabak ini,” katanya.

Sejak 29 Julai lepas, Dr Dzulkefly berkata sebanyak 633 sesi town hall telah dilaksanakan dengan kehadiran pengusaha dan guru dari 6,714 taska, tadika dan prasekolah di seluruh negara iaitu liputan sebanyak 25.6 peratus.

Sejak awal tahun ini, katanya kementerian turut melaksanakan sebanyak 116,288 promosi pendidikan kesihatan secara bersemuka melalui taklimat, edaran risalah, poster dan pameran serta hebahan media sosial. – BERNAMA

Loading...