Kes Gaduh Di Padawan Tiada Kaitan Isu Perkauman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kes pergaduhan di Padawan, Sarawak membabitkan sekumpulan lelaki yang tular di dalam media sosial bukan isu perkauman.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, punca kejadian itu adalah sebaliknya dan berkaitan kes penipuan.

“Saya minta orang ramai jangan cepat percaya hasutan mengatakan kejadian itu berbaur perkauman, sebaliknya ia berlaku secara kebetulan.

“Mohon tentukan faktanya sebelum terpengaruh, pihak polis sedang menjalankan siasatan dan memburu individu yang mengeluarkan parang dalam kes gaduh itu,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut Abdul Hamid memberitahu, kejadian itu berkaitan kes penipuan membabitkan seorang lelaki menipu sekumpulan lelaki dengan menjanjikan habuan lebih kepada mereka jika menang loteri.

“Kumpulan lelaki itu mencari suspek sejak beberapa hari lalu dan sebaik terserempak dengan suspek hari ini, mereka cuba menahannya.

“Tindakan mengepung suspek tidak menjadi masalah tetapi yang menjadi masalah kenapa salah seorang daripada mereka perlu membawa parang?” ujarnya.

Tambah Abdul Hamid, pihaknya kini berusaha mengesan individu yang membawa parang kerana tindakan itu adalah ugutan jenayah dan satu kesalahan undang-undang mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, kita juga telah menahan dua lelaki tempatan kerana menipu di dalam kes berkenaan,” jelasnya.