Kes Enjin Terbakar: Korea Selatan Denda BMW RM42 Juta

HUKUM… Kerajaan Korea Selatan terpaksa mengenakan denda sebanyak 11.2 bilion won (kira-kira RM42 juta) terhadap syarikat pembuat kereta ternama Jerman, BMW.

Ini kerana pengeluar automotif itu dipercayai tidak ambil tindakan segera untuk tarik balik kenderaannya yang ada masalah enjin, terutama dikaitkan dengan puluhan kes melibatkan kebakaran enjin di seluruh negara tersebut.

Kereta BMW yang terbakar sering jadi berita hangat di Korea Selatan pada awal tahun ini, dengan media tempatan melaporkan terdapat lebih 40 kes berkenaan disiarkan sepanjang 2018.

Malahan sesetengah pengusaha tempat letak kereta di gedung komersial dan pejabat korporat juga dikatakan enggan menerima model kenderaan BMW atas kebimbangan bahawa ia mungkin terbakar.

Syarikat pembuat kereta itu sudah pun tarik balik lebih 170,000 unit BMW di Korea Selatan, dengan menyalahkan alat pendingin peredaran semula gas ekzos (EGR) yang rosak sebagai punca kebakaran tersebut.

Pada Ogos lalu, pengeluar gergasi tersebut mengumumkan penarikan balik kenderaan berkenaan di Eropah serta beberapa buah negara Asia, termasuk Korea Selatan.

Sejumlah 480,000 unit kereta berkenaan terjejas akibat masalah yang sama, sebelum lebih sejuta kereta diesel turut ditarik balik sekitar dua bulan kemudian.

“Sebelum ini, BMW mengumumkan bahawa ia hanya sedar mengenai kaitan antara kerosakan pada alat pendingin EGR dengan kebakaran itu pada 20 Julai 2018,” menurut Kementerian Pengangkutan Korea Selatan dalam satu kenyataan, sambil mengumumkan hasil siasatan yang dijalankan selama lima bulan.

“Bagaimanapun, kami mendapati bahawa… ibu pejabat BMW di Jerman sudahpun membentuk sebuah pasukan khas pada Oktober 2015 yang ditugaskan untuk menghuraikan masalah alat pendingin EGR.”

Selain denda yang dikenakan, kementerian itu juga akan meminta pihak pendakwa raya supaya siasat BMW kerana dipercayai sengaja tangguh pengakuan tersebut dan ambil masa sebelum tarik balik kenderaan terjejas.

Enam daripada 10 kereta import ke Korea Selatan adalah dari Jerman, dengan BMW jual hampir 39,000 kenderaan pada separuh pertama tahun ini, menurut Persatuan Pengimport dan Pengedar Kenderaan Korea. – AFP

Loading...