Kes ‘Cuci’ Duit Haram: KPN Arah Siasatan Terperinci

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan siasatan terperinci dilakukan susulan pendedahan kes sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram sehingga tertangkapnya beberapa anggota polis termasuk pegawai kanan.

Katanya, beliau sudah mengarahkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk melakukan siasatan serta membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ketiga-tiga pengarah itu sedang jalankan tindakan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata Jabatan Siasatan Jenayah juga diarahkan membantu SPRM dalam siasatan kes itu.

Beliau berkata, masih banyak yang sedang disiasat SPRM dan mereka memerlukan ruang serta waktu untuk meneruskan siasatan kes berkenaan.

Abdul Hamid berkata demikian bagi mengulas siasatan terhadap 17 pegawai dan anggota pasukan keselamatan itu oleh SPRM berkaitan sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

Kelmarin, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya mengesan ratusan syarikat dami yang diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket berkenaan.

SPRM turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.

Hari ini, sembilan pegawai kanan polis termasuk beberapa Ketua Polis Daerah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan kes itu. – BERNAMA

Loading...