Kes COVID-19 Meningkat: Polis Perketat Kawalan Pematuhan SOP

KUALA LUMPUR – Bukit Aman mengarahkan semua kontinjen polis setiap negeri mempertingkat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), susulan peningkatan kes COVID-19.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pemantauan oleh Pasukan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengetuai pemeriksaan pematuhan SOP akan mempertingkat pemeriksaan, terutama di kawasan sesak dan menjadi tumpuan ramai.

“Pasukan pematuhan diketuai PDRM dari semasa ke semasa meningkatkan tindakan. Sebagai contoh polis Kelantan baru-baru ini, mengeluarkan kompaun kepada individu yang terbabit aktiviti pesta air.

“Tindakan itu diluaskan kepada semua kontinjen terbabit, bukan sahaja untuk kegiatan pesta air, bahkan apa juga sambutan membabitkan perhimpunan orang ramai yang isu penjarakan fizikal menjadi masalah utama sekarang ini,” katanya selepas melancarkan Buku Sejarah Penubuhan Briged Tengah dan Batalion 4, 5, 6 dan 19 serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, di sini, hari ini.

Beliau berkata, meskipun kes yang tinggi dilaporkan membabitkan kluster tapak pembinaan, orang ramai perlu mematuhi SOP ditetapkan bagi mengawal penularan wabak dalam masyarakat, semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Apa yang saya lihat ialah SOP menjaga penjarakan fizikal semakin tidak diambil berat dan kita akan pastikan orang ramai kembali patuh kepada arahan yang ditetapkan dalam mengekang penularan COVID-19,” katanya. – BH Online