Kes Bunuh Jamal: Trump Tetap Pertahan Saudi

IKRAR… Presiden Donald Trump berjanji akan terus bersekutu dengan Arab Saudi waima Putera Mahkota Mohammed bin Salman didakwa konon dalangi pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

“Mungkin Putera Mahkota saja yang tahu mengenai insiden tragik tersebut – mungkin beliau melakukannya atau mungkin juga memang tidak!” kata Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menerusi satu kenyataannya di Florida.

Beliau menambah: “Kami semua tidak tahu tentang kebenaran di sebalik kes pembunuhan Jamal. Walau apa pun, kami mahu menjaga hubungan kami dengan Arab Saudi. Malah AS berhasrat untuk kekal menjadi rakan setia.”

Pembunuhan Jamal, yang dilaporkan hilang selepas ‘diumpan’ hadir ke bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober atas urusan peribadi dirinya, sebenarnya sudah sangat memalukan imej Washington DC.

Ini menyebabkan satu kempen perhubungan awam yang diterajui Putera Mahkota terpaksa dilancarkan sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa negara Islam yang konservatif itu sudah mula menjalankan pembaharuan.

Bagaimanapun strategi Rumah Putih untuk menjadikan Mohammed bin Salman sebagai rakan utamanya dalam rantau Asia Barat yang sering berlaku pergolakan serius politik dan tentera, turut dipertikaikan banyak pengkritik.

Presiden Trump sudah berminggu-minggu enggan menerima bukti-bukti yang menunjukkan penglibatan Riyadh dalam pembunuhan Jamal serta dakwaan bahawa Putera Mahkota yang konon mengarahkan pembunuhan itu.

Namun, dengan The New York Times melaporkan bahawa CIA dapati Mohammed terlibat dalam kes tersebut, tumpuan beralih kepada sama ada Trump akan hukum rakan sekutunya atau cari cara untuk melakukan sebaliknya.

Dalam kenyataan dikeluarkan Rumah Putih, Trump membayangkan beliau tidak ingin pertikai penglibatan putera itu sambil mengatakan bahawa hubungan Washington DC-Riyadh lebih penting daripada kes pembunuhan Jamal.

Beliau akur bahawa Raja Salman dan putera mahkota negara itu “menolak keras sebarang pengetahuan tentang komplot mahupun usaha pembunuhan Jamal”, kolumnis akhbar Washington Post yang sering kritik Arab Saudi.

Riyadh dakwa Jamal, pernah beri bantuan penting kepada Washington DC yang berdepan cabaran untuk bendung Iran, di samping komited terhadap kontrak senjata AS bernilai AS$450 bilion (RM1.8 trilion) dan pelaburan lain.

Arab Saudi juga sudah banyak bantu AS dalam mengekalkan harga rendah minyak mentah global, kata Presiden Trump sambil menyifatkan isu pembunuhan Jamal sebagai satu jenayah buruk yang tidak boleh dimaafkan.

Beliau melihat Arab Saudi sebagai pakatan yang baik dan menambah bahawa pembatalan berbilion jualan senjata AS ke atas negara itu hanya akan memberi manfaat kepada China dan Rusia. РAgensi/Mynewshub.TV

Loading...