Kes Baharu Covid-19 Menurun Kepada 1,555 Kes

KUALA LUMPUR – Kes harian Covid-19 terus menurun hari ini dengan 1,555 kes direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan kes kumulatif sebanyak 304,135.

Beliau berkata, KKM merekodkan 2,528 kes sembuh menjadikan kumulatif kes sembuh di Malaysia berjumlah 278,431.

Katanya, seramai 204 pesakit menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 96 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

“KKM merekodkan enam lagi kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 1,141 kes.

“Kes kematian pada hari ini membabitkan tiga kes di Selangor, dan masing-masing satu kes di Sabah, Kuala Lumpur, dan Perak.

“Sebanyak lima kes kematian membabitkan warganegara dan satu kes bukan warganegara,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, terdapat tiga kes import baharu yang membabitkan bukan warganegara manakala penularan tempatan iaitu 1,552 kes (1,108 warganegara atau 71.4 peratus dan 444 bukan warganegara atau 28.6 peratus).

Menurutnya, kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 24,563.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 672 kes (43.2 peratus) membabitkan sebanyak 573 kes (85.3 peratus) daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. 

“Ini diikuti Johor sebanyak 163 kes (10.5 peratus) dan Sarawak sebanyak 159 kes (10.2 peratus).

“Sebanyak 47 kes (3.0 peratus) yang dilaporkan pula berkaitan kluster di penjara,” katanya.

Menurutnya, ia membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (24 kes), Kluster Tembok Taiping (9kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (8 kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (4 kes), Kluster Tembok Tapah (1 kes) dan Kluster Telok Mas (1 kes). – myMetro Online