Kertas Siasatan Selebriti Langgar SOP Dirujuk Ke Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan ke atas keluarga selebriti dan usahawan, Nor Neelofa Mohd Nor atau Neelofa yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) sambutan Aidilfitri sudah diserahkan ke Bukit Aman, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata ia sebagai rujukan sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan seterusnya.

“Siasatan kita menjurus kepada kesalahan yang dilakukan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 iaitu melakukan aktiviti ziarah raya.

“Siasatan dijalankan berdasarkan kepada rakaman video berdurasi 26 saat yang tular di media sosial, dimuat naik oleh kakak selebriti berkenaan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Berikutan itu, polis memanggil 10 ahli keluarga termasuk selebriti terbabit dan suaminya, serta bapanya untuk proses rakam keterangan bagi membantu siasatan polis, Selasa lalu.

“Semakan mendapati rumah yang dikunjungi itu adalah kediaman ibu bapa selebriti berkenaan di Taman Tun Dr Ismail, bagaimanapun selebriti terbabit serta adik beradiknya tinggal berasingan di tempat lain namun masih dalam daerah sama.

“Tiada kesalahan berkaitan rentas daerah namun ziarah raya oleh keluarga selebriti itu melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk sambutan Aidilfitri dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang mana ziarah raya adalah dilarang,” katanya.

Ini sekali gus menjelaskan kenyataan beliau melalui satu siaran media yang diedarkan berhubung siasatan polis ke atas keluarga selebriti terbabit pada Selasa lalu, yang mana ada pihak dilihat cuba memutar belitkan kenyataannya.

Dalam kenyataan itu, Anuar berkata ‘Pergerakan di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagaimanapun dibenarkan dan ianya dikira sebagai satu kawasan jangkitan’.

Perkara itu merujuk kepada kenyataan beliau berkaitan pelaksanaan SOP Am PKP 3.0 di ibu negara berkuatkuasa 7 Mei lalu hingga 20 Mei ini yang menetapkan bahawa rentas sempadan negeri dan daerah adalah tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran pihak polis, yang turut disebut dalam siaran media berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, dalam kenyataan malam tadi turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti ziarah raya adalah tidak dibenarkan.

“Pergerakan merentas sempadan negeri dan daerah juga tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran PDRM. 

“Pergerakan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah dibenarkan namun aktiviti ziarah raya tetap tidak dibenarkan untuk mana-mana individu sekali pun,” katanya. – BH Onlline