Kertas Siasatan Kes Rogol Exco Perak Diserah Kali Ketiga

IPOH – Kertas siasatan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia melibatkan seorang Exco kerajaan negeri telah diserahkan semula kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, kertas siasatan berkenaan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan pada Jumaat lalu.

“Ini merupakan serahan kali ketiga kertas siasatan kes rogol membabitkan Exco kerajaan negeri dan bagi pihak polis, kita telah pun melengkapkan siasatan kes berkenaan seperti yang dikehendaki.

“Keputusan (sama ada dituduh di mahkamah atau sambung siasatan) akan dimaklumkan pada minggu depan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Pada 8 Julai lalu, Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat pembantu rumahnya. 

Wanita berusia 23 tahun itu mendakwa dirogol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu di rumah majikannya di Meru sehari sebelum laporan dibuat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.