Kertas Siasatan Kes Rogol Exco Perak Dipulangkan Kali Kedua

IPOH – Kertas siasatan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang membabitkan seorang Exco kerajaan negeri dipulangkan kembali kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya perlu melengkapkan beberapa perkara lagi sebelum kertas siasatan berkenaan dihantar semula kepada Pengarah Pendakwaan Negeri.

Beliau berkata, kertas siasatan itu akan dilengkapkan dalam tempoh terdekat.

“Kertas siasatan tersebut diterima semalam dan ini kali kedua ia dipulangkan untuk kita lengkapkan sedikit lagi siasatan dan keterangan-keterangan yang ada sebelum dihantar semula kepada pihak pendakwaan.

“Seperti yang ditegaskan sebelum ini, siasatan kes dijalankan dengan telus dan adil kepada kedua-dua pihak. Disebabkan itu, kita akan lengkapkan lagi siasatan dalam sehari dua ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ipoh dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak di Mes Pegawai Kanan di sini hari ini.

Pada 8 Julai lalu, Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat pembantu rumahnya.

Wanita berusia 23 tahun itu mendakwa dirogol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu di rumah majikannya di Meru sehari sebelum laporan dibuat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri namun dikembalikan semula kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya bagi mendapatkan laporan pakar perubatan dan Jabatan Kimia.

Kedua-dua laporan tersebut diterima pihak polis pada Isnin lalu dan dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri kelmarin namun dipulangkan semula semalam untuk tindakan lanjut.

Loading...