Kertas Siasatan Kes Neelofa, Suami Diserah Kepada TPR

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan majlis perkahwinan usahawan dan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dihantar semula kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, ketika ini, pihaknya sedang menunggu arahan daripada TPR untuk tindakan lanjut.

“Kita hantar semula kertas siasatan semalam selepas membuat beberapa pernambahan mengikut arahan pihak berkenaan sebelum ini.

“Perkembangan lanjut kes itu akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selepas mendapati majlis yang berlangsung itu gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.

Ia susulan satu gambar tular di media sosial menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – myMetro Online