Kertas Siasatan Kematian Danial Telah Diserah TPR

SHAH ALAM – Kertas siasatan berhubung kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir yang terlibat dalam kemalangan berhampiran persimpangan Southville City di Lebuh Raya Utara-Selatan pada 10 Ogos lalu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, pihaknya hanya menunggu arahan daripada pihak TPR bagi tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini, kita masih mengekalkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“TPR akan menilai sama ada akan mengekalkan seksyen sama dalam pertuduhan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada majlis menandatangani nota kerjasama di antara Polis Kontinjen Selangor dengan Pick N Go Sdn. Bhd., di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK ) Selangor di sini hari ini.

Ab. Rashid menjelaskan tempoh masa bagi mendakwa suspek di mahkamah juga bergantung kepada pihak TPR. 

“Kita tidak tahu berapa lama tempoh yang diperlukan TPR untuk memutuskan bila tertuduh akan didakwa di mahkamah. Ini kerana TPR perlu mengkaji terlebih dahulu kes berkenaan sebelum mengeluarkan apa-apa arahan,” katanya. 

Dalam kejadian pukul 1.40 petang pada 10 Ogos lalu, Syed Muhammad Danial, 29, dilaporkan maut selepas dilanggar sebuah kenderaan yang dipandu lelaki lain.

Kejadian dikatakan berlaku akibat kemalangan kecil selepas Plaza Tol Sungai Besi dengan kedua-dua kenderaan berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi di mana mangsa dilanggar. – K! ONLINE

Loading...