Kertas Siasatan Aliff Syukri Diserah Kepada TPR Esok

KERTAS siasatan berhubung kes usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang didakwa memukul anak angkatnya akan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) esok bagi proses pendakwaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis sudah mengambil keterangan semua saksi yang terbabit.

β€œKertas siasatan sudah lengkap dan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan esok,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Pada 5 Mac lalu, Aliff ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis bagi membantu siasatan kes pukul anak angkatnya.

Kejadian yang berlaku pada 28 Februari itu difahamkan berlaku di kediaman usahawan itu dan sehari kemudian, pembantu rumahnya membuat laporan polis sebagai perlindungan diri.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan mangsa yang berusia dua tahun dipukul dengan menggunakan tangan dan kasut serta dicubit hingga meninggalkan kesan pada badannya.

Suspek dikatakan memukul mangsa yang menangis ketika dia sibuk merakam video untuk kandungan YouTube miliknya. – myMetro Online