Kertas Putih Pertahanan Hanya Versi Ringkas Zaman BN

PETALING JAYA – Bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein mengaku kecewa dengan kandungan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentangkan buat kali pertama oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Dewan Rakyat hari ini.

Hishammuddin berkata, KPP yang dibentangkan Mohamad hanyalah versi ringkas daripada apa yang dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, walaupun kertas putih itu mempunyai perancangan untuk 10 tahun.

“Sejujurnya saya amat menantikan pembentangan KPP ini. Bagaimanapun selepas menyemak kandungan KPP yang diedarkan dan selepas mendengar pembentangan menteri, saya rasa agak kecewa dan bimbang.

“Intipati KPP hanyalah versi ringkas apa yang dibentangkan semasa BN memerintah. Bezanya, Buku Ikrar Kementerian Pertahanan ketika itu memperincikan pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah 6 teras Kementerian Pertahanan,” katanya dalam sesi perbahasan KPP hari ini.

Mohamad hari ini membentangkan KPP, yang antaranya dibangunkan bagi melibatkan rakyat dan pihak berkepentingan dalam isu pertahanan negara.

KPP juga menjelaskan persekitaran strategik keselamatan yang sentiasa berubah dan bagaimana keadaan itu mempengaruhi keselamatan Malaysia.

Ia juga berujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara maritim dengan meletak dan memaksimumkan potensi sebagai gerbang penjalin antara rantau Asia-Pasifik dan Lautan Hindi, bagi jangka panjang.

Hishammuddin berkata, intipati KPP juga tidak berfokus serta tidak mempunyai kesinambungan yang jelas.

Sebagai contoh, jelas beliau, Bab 4 yang menyentuh mengenai senarai hasrat pemilikan aset ketenteraan untuk 10 tahun akan datang tidak diperincikan.

“Tetapi apabila diselak di bahagian pelaksanaan KPP, tidak ada pula perincikan kaedah pelaksanaan untuk perolehan aset-aset ini. Kita tidak tahu senarai hasrat ini akan jadi satu kenyataan atau tidak.

“Penting juga kita tahu perinciannya untuk kita lebih yakin apa yang dibentangkan ini akan menjadi satu kenyataan. Ini boleh menjejaskan hala tuju dan fokus bukan sahaja rakyat tetapi anggota ATM sendiri,” katanya. – FMT

Loading...