Kerjasama PRU-15 Hanya Babitkan UMNO, PAS Tanpa BERSATU

PASIR SALAK – UMNO hanya akan bekerjasama dengan PAS tanpa membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. 

Pendirian itu ditegaskan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, selaras kerjasama politik antara parti itu dengan PAS sejak 2018, sebelum menandatangani piagam Muafakat Nasional pada 2019.

Beliau berkata, melalui piagam itu kedua-dua parti berjanji mengadakan kerjasama politik termasuk tidak akan bertembung dalam PRU-15. 

“Dia (Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah) nak bekerjasama dengan BERSATU terpulanglah kepada dia dan UMNO tidak akan bekerjasama dengan parti itu dalam pilihan raya akan datang.

“Berdasarkan tinjauan lebih 140 atau dua per tiga daripada ketua bahagian dalam UMNO di seluruh negara turut menyatakan pendirian sama. 

“Jadi kita mendengar kepada akar umbi, takkan kita mahu dengar cakap Amar tetapi kita hormat kenyataan beliau,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pasir Salak 2020 di Dewan Besar Pekan Baru, Chenderong Balai di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohd Amar bahawa PAS, BERSATU dan BN tidak mampu menghadapi pilihan raya bersendirian dan ketiga-tiga parti itu melalui Perikatan Nasional (PN) perlu bekerjasama dalam PRU-15. 

Tajuddin bagaimanapun berharap pemimpin PAS berpegang kepada janji supaya gerak kerja menghadapi PRU-15 berjalan lancar, malah percaya kerjasama antara mereka akan menghasilkan kemenangan besar. 

“Janji mesti ditunaikan dan mereka menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama BERSATU tanpa UMNO sedangkan kita sudah bersama dalam MN….jadi carilah jalan keluar. 

“(Ketika) kerajaan (dibentuk) dahulu kita bersetuju ia bukan kerjasama politik (sebaliknya) ahli dewan saja (antara) wakil rakyat dengan wakil rakyat dan tidak buat keputusan masuk secara politik dalam PN,” katanya. – BH Online