Kerjasama PAS-UMNO Bukan Keperluan Mendesak

KUALA NERUS – Kerjasama PAS-UMNO bukan satu keperluan yang mendesak, namun ia diperlukan untuk kepentingan dan kesejahteraan orang Melayu dan Islam, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kadang-kadang memang ia mendesak, contohnya apabila keputusan pilihan raya tidak seimbang dengan demografi penduduk atau bukan Islam yang mendominasi kerajaan.

“Begitu juga apabila ada orang bukan Islam membuat pelbagai tuntutan yang tidak wajar dan menyentuh hubungan dengan orang Islam seperti meminta dihapuskan majlis agama, dihapuskan undang-undang syariah dan tuntutan LGBT.

“Itu semua bercanggah dengan ajaran Islam. Maknanya, hubungan sekarang ini bukan terdesak tetapi hanya keperluan,” katanya dalam sidang media selepas berakhirnya Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata jika ada keperluan, muktamar khas akan diadakan untuk tujuan formaliti kerjasama itu dan keseluruhan perwakilan muktamar kali ini menerima kerjasama PAS-UMNO.

Jelasnya, apa jua bentuk kerjasama PAS-UMNO akan dilakukan secara terbuka seperti dilakukan negara demokrasi lain kerana ia akan memberi kesan dan mempengaruhi undi pada sesuatu pilihan raya.

Terdahulu dalam ucapan penggulungannya, Anggota Parlimen Marang itu berkata orang Melayu beragama Islam berpeluang mendominasi kepimpinan negara jika mereka mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

“Orang Melayu janganlah marah dengan dominasi bukan Islam dalam pentadbiran sekarang. Ini berlaku kerana orang Melayu bagi undi kepada orang bukan Islam,” katanya.

Abdul Hadi juga menjelaskan PAS bukanlah cabang yang dipotong dari mana-mana parti politik atau ranting yang dipacakkan ke tanah untuk hidup sebaliknya mengamalkan politik matang dan sejahtera untuk terus kekal relevan.

Mengulas lanjut mengenai taawun (kerjasama) dengan UMNO, Anggota Parlimen Marang itu berkata budaya politik tersebut sudah lama dilaksanakan PAS termasuk di peringkat antarabangsa dalam membantu menyelesaikan isu kemanusiaan dan keamanan sejagat.

“PAS diberi kepercayaan untuk libatkan diri dalam krisis membabitkan umat Islam seperti di Thailand, Filipina, masyarakat Rohingya, dan krisis penduduk Gaza dan Palestin di Israel.

“Kita laksanakan taawun dan juga kerjasama dalam perkara lain demi rakyat dan negara. Maka berlakunya taawun dengan UMNO.

“Disebalik kerjasama itu, kita tegas dalam perjuangan membentuk akidah kerana memimpin bersama Islam adalah penting dalam perjuangan kita. Kita tolak reformasi tanpa Islam,” katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapan penggulungannya pula berkata PAS tidak akan menjadi pelampung kemungkaran namun akan menjadi pelampung yang akan menyelamatkan rakyat Malaysia.

“Ada pihak yang bimbang mengenai kerjasama PAS-UMNO. Kita tidak akan dilampungkan dengan kemungkaran. Kerana Islam yang akan selamatkan kita dan kita ajak rakyat untuk sama-sama berjaya dunia dan akhirat. Rakyat akan mendapat cahaya Islam,” katanya.

Muktamar Tahunan PAS ke-64 berakhir hari ini. – BERNAMA

Loading...