Kerjasama Kerajaan Pusat, Negeri Tangani Kemiskinan Di Sabah

KOTA KINABALU – Kerajaan Persekutuan akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi melihat kaedah-kaedah baharu yang lebih kreatif dan inovatif bagi memastikan masalah kemiskinan di Sabah dapat ditangani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, ia merupakan isu penting yang harus ditangani memandangkan negeri ini mencatatkan kadar kemiskinan yang tinggi.

“Data 2019 menunjukkan kadar pengangguran adalah sebanyak 3.3 peratus dan di Sabah pula merekodkan sebanyak 5.8 peratus.

“Perkara ini memerlukan usaha yang lebih gigih bagi merapatkan jurang antara Sabah dan negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), projek di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Sabah Port Sdn Bhd di Wisma Sabah Port, di sini.

Tambah Mustapa kerjasama lebih erat antara Kerajaan Pusat dan negeri selain mengurangkan ketegangan antara kedua-dua pihak bagi memajukan Malaysia dalam konteks Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) iaitu pembangunan secara inklusif.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM34.3 juta kepada Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar di sini bagi meningkatkan kemudahan prasarana di pelabuhan berkenaan.

“Sabah mempunyai matlamat untuk menggalakkan lebih banyak lagi ‘shipping line’ singgah di sini supaya Pelabuhan Sepanggar ini menjadi salah satu pusat ‘transshipment’ dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) yang sudah pasti memerlukan peruntukkan bagi memajukan kemudahan di pelabuhan.

“Oleh itu hubungan baik antara kerajaan pusat dan negeri penting dalam perkara ini, dan kerajaan pusat telah banyak membantu untuk menjayakan rancangan membesarkan Pelabuhan Sepanggar bagi memajukan kemudahan yang terdapat di pelabuhan ini,” katanya.

Beliau juga turut meminta SEDIA supaya mempastikan industri-industri lain yang boleh dimajukan seperti industri biomass agar dapat dipercepatkan pelaksanaannya di negeri ini. – Astro AWANI

Loading...