Keretapi Laju Johor-P.Pinang Direalisasi Apabila Tiba Masa

CYBERJAYA – Tiada keperluan untuk Malaysia membina keretapi berkelajuan tinggi dari Johor Bharu ke Pulau Pinang atau sempadan Thailand buat masa sekarang.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan, hasrat tersebut hanya boleh direalisasikan apabila tiba masanya.

“Apabila tiba masanya. Buat masa sekarang kita tidak mempunyai keperluan.

“Suatu masa nanti (pasti akan dilaksanakan),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Forum Menjayakan Industri Rel untuk Masa Hadapan di sini, hari ini.

Terdahulu ketika menjawab soalan peserta forum, Dr. Mahathir berkata, kerajaan berhasrat untuk membina keretapi berkelajuan tinggi ke Pulau Pinang atau mungkin ke sempadan Thailand kerana projek tersebut lebih memberi nilai dan manfaat kepada pengguna kerana faktor jarak dan masa perjalanan.

Katanya, kerajaan percaya perkhidmatan keretapi berkelajuan tinggi perlu disediakan kepada pengguna untuk perjalanan jarak jauh.

“Sekiranya perjalanan terlalu pendek contohnya sejam dan masa perjalanan cuma dikurangkan sebanyak 15 ke 20 minit, ianya tidak berbaloi kerana penumpang tetap perlu pergi ke stesen sebelum tiba ke tempat yang dituju.

“Tetapi jika perjalanan mengambil masa lebih dua jam atau enam jam, keretapi berkelajuan tinggi adalah jawapannya.

“Buat masa sekarang, keretapi berkelajuan tinggi bukan satu keperluan terutamanya di antara Kuala Lumpur- Singapura.

“Kita telah dan sedang memperbaiki perkhidmatan tren dengan menaik taraf kepada landasan berkember dan elektrik,” katanya.

Ketika diminta menjelaskan dengan lebih lanjut kenyataannya berhubung projek HSR dengan Singapura itu, Dr. Mahathir berkata, seperti dipersetujui, Malaysia telah meminta penangguhan selama dua tahun untuk membuat kajian dan akan membincangkan keputusan tersebut dengan negara jiran itu selepas tempoh berkenaan.

“Buat masa sekarang kita tidak akan bina. Kita juga belum memberikan sebarang kontrak tetapi kita akan membayar pampasan kepada Singapura selepas ini,” jelasnya.

Ketika ditanya apakah Singapura akan bersetuju sekiranya jajaran tersebut dilanjutkan sehingga ke utara Malaysia, Dr. Mahathir berpendapat republik berkenaan hanya berminat dengan Kuala Lumpur sahaja. – MalaysiaGazette

Loading...