Kereta Nasional Ketiga Pacu Negara Ke Fasa Baharu

KUALA LUMPUR – Institut Automotif Malaysia (MAI) menjangkakan projek kereta nasional 3.0 bakal memacu Malaysia ke satu fasa baharu atau…

KUALA LUMPUR – Institut Automotif Malaysia (MAI) menjangkakan projek kereta nasional 3.0 bakal memacu Malaysia ke satu fasa baharu atau dipanggil ‘Keluk-S’ bagi industri automotif negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari, berkata apa yang lebih penting fasa baharu itu akan dapat dicapai dengan baik apabila negara mempunyai projek kereta nasional yang boleh memaksimumkan penyertaan bakat dan syarikat tempatan, khususnya berkaitan dengan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

“Ini akan meningkatkan keupayaan dan pengambilan teknologi secara keseluruhan, sejajar dengan trend global yang berkaitan dengan pendigitalan, kecerdasan pembuatan, kejuruteraan nano, sains data dan bidang serta disiplin baharu yang lain pada masa akan datang,” katanya dalam satu nota di laman web MAI hari ini .

Madani berkata projek kereta nasional sebelum ini tidak dinafikan lagi memberikan pengalaman dan pengetahuan kepada industri automotif negara memulakan projek kereta nasional 3.0 sejajar dengan matlamat yang ditetapkan.

Beliau berkata, bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat, Malaysia perlu mencontohi negara kuasa besar dunia dalam keupayaan sains dan teknologi.

Katanya, negara seperti Jerman, Amerika Syarikat (AS) atau Jepun adalah pemimpin pasaran global yang mengurangkan kebergantungan mereka terhadap sektor komoditi dan sumber semula jadi.

“Kereta nasional 3.0 adalah penanda aras yang memacu keseluruhan agenda merangkumi sains dan teknologi.

Industri automotif, khususnya kereta dijangka akan menjadi autonomi, dan ini memerlukan kenderaan untuk disambungkan ke infrastruktur, persekitaran, kenderaan lain dan sebagainya termasuk pejalan kaki dan penunggang basikal.

Powertrains berasaskan bateri dan navigasi autonomi dijangka menjadi teknologi yang dominan dalam beberapa dekad akan datang.

“Banyak penumpuan akan dilihat di bidang teknologi baharu seperti nanoteknologi, telekomunikasi, pengurusan data bahkan sektor seperti pengurusan sumber manusia, pemasaran, undang-undang , perancangan bandar dan sebagainya akan menjadi lebih relevan kepada sektor pengangkutan (mobiliti).

“Penumpuan baharu ini dijangka mewujudkan sektor mega baharu, yang dikenali sebagai sektor Mobiliti Terhubung,” katanya.

Madani berkata, lebih banyak industri seperti penjagaan kesihatan, tenaga, pertanian, kreatif, pembalakan, akuakultur dan runcit juga perlu menyesuaikan diri dengan sektor yang baru muncul ini, yang terhasil daripada pergerakan berkaitan.

Sebagai contoh katanya, sebuah kenderaan yang terhubung akan memberi kemudahan dalam perjalanan harian seperti mesyuarat yang diadakan di dalam kereta dengan keputusan yang dibuat dalam perjalanan ke pejabat tanpa kekangan waktu, ruang dan lokasi.

“Kenderaan ini menjadi ruang yang sangat produktif, dilengkapi dengan teknologi untuk meningkatkan keseimbangan kerja dalam kehidupan kita.

“Tambahan pula, peningkatan ekonomi digital dan fintech telah melahirkan platform dan peluang untuk memulakan perniagaan baharu seperti e-dagang dan perkhidmatan pendanaan masyarakat.

“Kemasukan aspek fizikal logistik ke dalam ekonomi digital ini adalah perlu dan ini didayakan oleh mobiliti yang berkaitan, iaitu Mobiliti sebagai Perkhidmatan (MaaS),” katanya. – BH Online

Loading...