Kereta Nasional Ketiga Guna Dana Awam

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata kerajaan akhirnya mengesahkan projek kereta nasional ketiga akan menggunakan dana awam.

Ia susulan jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohamed Farid Md Rafik dalam Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini yang mengesahkan dana RM20 juta untuk projek itu akan disalurkan oleh Majlis Pembangunan Negara.

“Akhirnya terjawab, projek kereta nasional ketiga menggunakan dana awam!

“Dalam Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini, Mohamed Farid mengesahkan bahawa Majlis Pembangunan Negara telah memperuntukkan RM20 juta bagi membangunkan prototaip kereta nasional baharu. Jadi, Majlis Pembangunan Negara inikah yang dikatakan syarikat swasta?” soalnya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam jawapan bertulis kepada Ka Siong, Mohamed Rafik berkata, Majlis Pembangunan Negara memperuntukkan siling sebanyak RM20 juta bagi membangunkan prototaip kereta nasional baharu.

Beliau bagaimanapun memberitahu, peruntukan itu hanya untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membangunkan prototaip tersebut dan inisiatif projek tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta. – UTUSAN ONLINE

Loading...