Kerajaan Tidak Sedia Promosi Ideologi China Di sekolah

KUALA LUMPUR – Sekarang bukan masa untuk mana-mana pihak mempromosikan ideologi China di negara ini, namun Malaysia akan terus mengekalkan hubungan baik dengan republik itu.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, rakyat terutama generasi muda, mesti memahami masalah dalam negara dan dasar sedang dirangka kerajaan untuk membangunkan Malaysia.

“Bukan masa untuk kita mempromosikan ideologi China. Orang muda mesti memahami masalah dan bagaimana negara kita membangun terlebih dahulu,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan peserta pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’, di sini, hari ini, mengenai penyebaran serta kandungan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang didakwa mengandungi unsur propaganda politik serta mempromosikan ideologi China.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, Malaysia mahu terus mengekalkan hubungan baik dengan China, terutama dalam perkara memanfaatkan ekonomi negara.

Beliau berkata, dasar baharu diperkenalkan China, iaitu Belt and Road, memberi manfaat kepada Malaysia secara tidak langsung, namun kerajaan perlu mengkaji setiap kelebihan di dalamnya.

“Malaysia selalu dianggap sebagai kawan (oleh China). Sekarang China sudah menerima pakai dasar baharu dan ia memberi manfaat kepada negara-negara terbabit. Banyak negara kaya melihat ia peluang pasaran yang baik.

“Kita (Malaysia) mahu terus mempunyai hubungan baik dengan China. Kita perlu mencari apa yang dimaksudkan dengan Belt and Road. Kita tidak boleh menyokong tanpa sebarang penyelidikan,” katanya.

Seterusnya, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu mengakui bahawa Malaysia dihuni pelbagai kaum, memiliki ciri budaya tersendiri dan tidak sama seperti masyarakat di Amerika Syarikat.

Beliau berkata, sudah pasti bagi kerajaan, perpaduan mesti diurus sebaik mungkin bagi menunjukkan rakyat Malaysia berbeza dengan masyarakat di negara lain.

“Kita (kerajaan) agak bermurah hati dan kita mendengar (suara) rakyat. Jika mahu perpaduan, rakyat mesti bekerja ke arah itu,” katanya. – BH Online

Loading...