Kerajaan Tidak Buat Promosi Produk Swasta

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan kerajaan tidak membuat promosi untuk produk swasta kecuali mengetengahkan produk keluaran kementerian dan kerajaan sahaja.

Penjelasan tersebut dilakukan bagi mengulas isu promosi produk oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama seorang usahawan yang menjadi tular di media sosial.

“Kita tidak buatkan untuk produk-produk swasta. Kita buat untuk produk kementerian, memang kita ada memberi sokongan untuk ketengahkan produk-produk kementerian sendiri dan produk kerajaan.

“Namun, Syed Saddiq (Menteri Belia dan Sukan) sudah beri jawapan dia nak tolong, kita pun nak tolong, macam saya pun kalau pergi luar negeri saya bawa kraftangan Malaysia. Itu adalah promosi negara kita secara keseluruhan,” katanya kepada media selepas merasmikan Tasputra Perkim, pusat asuhan harian dan latihan untuk kanak-kanak kurang upaya di sini hari ini.

Sebelum ini, Syed Saddiq melahirkan rasa kecewa dengan tuduhan seorang usahawan yang mendakwa telah ‘ditipu’ oleh kementeriannya.

Beliau berkata, niatnya hanyalah untuk membantu produk usahawan tempatan supaya dapat memasuki rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven namun sebaliknya beliau pula dicaci. – BERNAMA

Loading...