Kerajaan Tidak Berhasrat Laksanakan Semula GST

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan semula sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dihapuskan sepenuhnya Jun tahun lalu.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurutnya, pendirian itu dibuat sebagai menghormati mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lalu.

“Walaupun dalam situasi perang perdagangan, eksport negara menguncup secara maginal pada 0.4 peratus dalam lapan bulan pertama tahun 2019 berbanding tahun lalu.

“Eksport negara dijangka akan terus mencatatkan pertumbuhan positif pada tahun 2019.

“Dalam tempoh yang sama Malaysia merekodkan nilai perdagangan pada jumlah 92.5 bilion iaitu 28.7 peratus lebih tinggi daripada 71.9 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya,” katanya.

Negara ketika ini melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selepas GST dihapuskan tahun lalu.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, melihat kepada perkembangan positif itu, beliau yakin kewangan negara akan terus kekal stabil.

“Dengan imbangan perdagangan yang kukuh tersebut, akan memastikan akaun semasa negara terus mencatatkan lebihan pada tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Guan Eng membentang Belanjawan 2020 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ iaitu belanjawan yang kedua bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Loading...