Kerajaan Terlalu Kuat Mudah Rasuah, Najib Rayu Pengundi

PETALING JAYA – Najib Razak hari ini merayu pengundi pilihan raya kecil Semenyih menolak Pakatan Harapan kerana kerajaan yang terlalu kuat akan menyebabkan rasuah mudah berlaku dan bersikap sambil lewa ketika berkhidmat kepada rakyat.

Bekas perdana menteri itu berkata, PH gagal menunaikan janji pilihan raya umum ke-14 dan menyebabkan keadaan bertambah teruk dengan kenaikan harga barang selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan, kenaikan harga minyak, memperkenalkan caj kesesakan dan meneruskan lantikan politik dalam agensi kerajaan.

“Sekiranya PH menang lagi kali ini, maka kita memberikan isyarat kepada mereka bahawa mereka masih boleh menang, walaupun mereka terus mungkir janji dan menipu kita. Kita tidak boleh benarkan perkara ini terus berlaku.

“Kita mesti memberikan isyarat mereka tidak boleh terus mungkir janji dan menipu, namun terlepas begitu sahaja.

“Mereka perlu bertanggungjawab ke atas janji-janji mereka kepada rakyat,” katanya dalam surat yang ditujukan kepada 53,000 pengundi DUN Semenyih.

Katanya, selepas PH mentadbir Selangor selama 2 penggal, banyak masalah belum diselesaikan, antaranya keadaan ekonomi negeri merudum, ramai hilang pekerjaan, masalah kos sara hidup, bekalan air, sampah-sarap, jalan berlubang dan lampu jalan.

“Walaupun beliau (calon PH) berjanji menyelesaikan semua masalah ini sehari selepas menang pilihan raya, saya yakin ini adalah satu lagi janji kosong PH selepas 11 tahun mereka memerintah di Selangor.”

Beliau berkata, PH masih merupakan kerajaan negeri, walaupun mereka kalah di Semenyih esok kerana gabungan itu masih menguasai 50 daripada 56 kerusi DUN Selangor atau 89.3% yang jauh lebih tinggi daripada 66.6% majoriti diperlukan untuk meminda perlembagaan negeri.

“Jumlah ini masih jauh tidak seimbang, tetapi jumlah suara pembangkang yang lebih banyak akan membolehkan kita memberi suara lebih kuat kepada rakyat.

“Sangat nyata PH masih terlalu kuat di dalam DUN. Apabila kerajaan terlalu kuat, ianya tidak baik untuk rakyat.”

Katanya, penduduk setempat boleh menyuarakan masalah pembangunan kepada kerajaan negeri melalui ahli Parlimen Hulu Langat kerana DUN Semenyih terletak di bawah kerusi Parlimen itu yang dipegang PH.

PRK DUN Semenyih menyaksikan saingan 4 penjuru antara calon PH, Aiman Zainali menentang Zakaria Hanafi, Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon bebas, Kuan Chee Heng. – FMT

Loading...