Kerajaan Terima RM4.25 Juta Untuk Tabung COVID-19

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini menerima sumbangan bernilai RM4.25 juta daripada lima syarikat untuk disalurkan ke Tabung COVID-19.

Sumbangan disampaikan wakil syarikat masing-masing kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu majlis ringkas di Perdana Putra, Putrajaya.

Syarikat Naza Corporation Holdings Sdn Bhd menyumbangkan RM1.25 juta yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, SM Nasaruddin SM Nasimuddin.

Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad, Tan Sri Rozali Ismail dan Pengarah E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz Daud, masing-masing menghulurkan sumbangan RM1 juta.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd Rahman, menyumbangkan RM500,000.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Leong Hup International Berhad, Tan Sri Francis Lau, tampil memberikan dua unit ventilator dan peruntukan bernilai RM500,000.

Sementara itu, Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif The Edge Media Group, Datuk Ho Kay Tat, menyumbangkan peralatan dan keperluan kesihatan bagi mendepani COVID-19 bernilai RM21 juta.

Semua sumbangan pelbagai pihak itu setakat ini menjadikan jumlah wang terkumpul, termasuk geran kerajaan adalah sebanyak RM14.2 juta.

Tabung COVID-19 dilancarkan 11 Mac lalu, sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu. – BH Online

Loading...