Kerajaan Terima 4 Cadangan Pengambilalihan MAB

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan kerajaan telah menerima empat cadangan pengambilalihan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Perdana Menteri berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat berikutan kerajaan perlu meneliti kesemua cadangan yang dibentangkan.

“Kebanyakannya (cadangan) daripada syarikat tempatan. Tiada keputusan. Banyak orang buat tawaran, ada yang mahu beli, ada yang mahu uruskan, (kerajaan) sedang kaji cadangan-cadangan ini.

“Kita perlu meneliti (cadangan) sebaiknya kerana sudah tukar banyak kali, tidak jadi. Jadi kita perlu pilih yang ada pengalaman,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup Persidangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perjumpaan bersama Pengasas Bersama Kumpulan AirAsia Bhd., Datuk Pahamin Ab Rajab, baru-baru ini.

Baru-baru ini dilaporkan Pahamin menzahirkan hasrat untuk ‘menyelamatkan’ Malaysia Airlines dengan cadangan pengambilalihan yang telah dikemukakan kepada Perdana Menteri.

Usaha Pahamin bersama-sama lima usahawan, yang namanya tidak didedahkan, bukan atas nilai komersial tetapi lebih kepada semangat cintakan negara di mana beliau juga komited tidak akan ada pembuangan pekerja sekiranya pengambilalihan itu berjaya.

Menurut wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin, kerajaan tidak lagi boleh tunggu terlalu lama kerana isu pemulihan dan pengambilalihan Malaysia Airlines sudah berlarutan terlalu lama, tanpa tanda kemajuan yang meyakinkan.

Loading...