Kerajaan Teliti Model Baharu PTPTN

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan mewujudkan satu jawatankuasa bagi meneliti model baharu menggantikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bermasalah.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, ia hasil dapatan diperoleh PTPTN menerusi Kertas Konsultasi Rakyat yang dilaksana agensi itu sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, keanggotaan jawatankuasa berkenaan nanti akan membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk pakar ekonomi, wakil kerajaan dan pembangkang.

“Pelbagai pandangan dan idea dibentangkan daripada Kertas Konsultasi Rakyat. Hasilnya, PTPTN mengenal pasti model PTPTN ketika ini bermasalah.

“Hasil kajian ini (menerusi Kertas Konsultasi Rakyat) menyerlahkan 68 peratus peminjam PTPTN masih lagi dalam kategori pendapatan B40.

“Sebanyak 55 peminjam adalah golongan B40, manakala 38 peratus lagi M40. Manakala 51 peratus peminjam menghadapi masalah untuk membayar balik.

“Kerajaan sememangnya komited membantu golongan ini,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, malam ini.

Hasil kajian itu juga, beliau berkata, PTPTN kini menjalankan kajian untuk mengenal pasti faktor masalah pembayaran supaya dapat mengenal pasti mekanisma yang lebih tepat.

“Dapatan ini mengambil masa lama, kerana kebanyakan data (diperoleh) daripada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri). Saya berasa agak pelik data ini tidak lengkap sebelum kerajaan Pakatan Harapan(PH) ambil alih.

“Ini menyebabkan kita terpaksa menghubungi agensi berkaitan untuk mendapatkan data ini dan ia mengambil masa panjang untuk diselesaikan. Kita sudah melakukan sebaik mungkin,” katanya.

PTPTN pada April lalu memaklumkan akan membentangkan Kertas Konsultasi Rakyat mengandungi dokumen dan maklumat berkenaan mekanisme baharu pembayaran balik pinjaman, pada suku ketiga tahun ini.

Sementara itu, Maszlee berkata pendidikan percuma tidak dapat dilaksana secara menyeluruh ketika ini, namun kerajaan sudah memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan bagi membantu golongan B40 menikmati pendidikan sempurna.

Menyentuh pemberian sarapan pagi percuma kepada murid, beliau berkata, pelaksanaannya kelak tidak akan menjejaskan waktu persekolahan dan ia dilaksana mengikut kesesuaian lokasi.

Loading...