Kerajaan Tak Terbabit Pembelian Tanah Di Kampung Baru

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak terbabit dalam pembelian tanah secara keseluruhan di Kampung Baru sebaliknya pembangunan dilaksanakan secara usaha sama pemaju dan pemilik tanah. 

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pembangunan Kampung Baru dilaksanakan dengan pendekatan baharu dibuat secara organik dan berfasa.

“Pembangunan itu mempunyai kebolehlaksanaan yang tinggi dan pada masa ini 44 blok pembangunan sudah dikenal pasti,” katanya menjawab soalan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) yang ingin mengetahui status terkini cadangan pembangunan Kampung Baru. 

Shahidan berkata, melalui pendekatan baharu itu kerajaan terbabit dalam pembangunan infrastruktur jalan utama dan akses keluar masuk yang menjadi pemangkin pembangunan kawasan itu.

“Nilai hartanah yang ditawarkan kepada pemilik tanah bergantung kepada mekanisme pembangunan yang akan dilaksanakan mengikut kesesuaian pembangunan,” katanya. 

Beliau menjelaskan pendekatan baharu ini dilaksanakan dalam tiga tempoh fasa pembangunan iaitu pembangunan Jangka Pendek (2021-2025), Jangka Sederhana (2025 – 2034) dan Jangka Panjang (2021 – 2040).

Pembangunan jangka pendek adalah dalam tempoh lima tahun membabitkan pembangunan semula kawasan Sungai Baru; Flat PKNS Jalan Tun Razak; pembangunan infrastruktur termasuk pelebaran dan menaik taraf Jalan Raja Uda dan cadangan sambungan DUKE 2A dari Jalan Kuching ke Kampung Baru di Jalan Raja Muda Abdul Aziz; pembinaan akses keluar masuk lebuhraya AKLEH di Sungai Baru; dan tapak klinik kesihatan dengan pembangunan yang lebih ekonomik. 

Untuk pembangunan Jangka Sederhana (2025 –2034) dalam tempoh 10 membabitkan pembangunan kediaman yang kompetitif di Kampong Periok dan pembangunan blok yang berpotensi di Kampung Pindah. 

Pembangunan jangka panjang dalam tempoh 20 tahun, bagi mempromosikan dan membangunkan blok pembangunan yang berpotensi dari semasa ke semasa akan bergantung kepada kesediaan pemaju. 

Mengenai peruntukan pembangunan, Shahidan menjelaskan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru melalui Kementerian Wilayah Persekutuan telah membuat permohonan peruntukan di bawah Pelan Kedua (RP2) RMKe-12 sebanyak RM148 juta dan masih menunggu kelulusan pihak EPU. 

Katanya, kos itu termasuk permohonan perolehan tanah Kampung Pindah sebanyak RM100 juta dan RM48 juta untuk pengambilan tanah bagi pelebaran dan menaiktaraf Jalan Raja Uda. 

Menjawab soalan tambahan Khalid yang menyatakan pendekatan pembangunan Kampung Baru bukan satu tawaran terbaik untuk penduduk Kampung Baru, katanya pelan induk pembangunan Kampung Baru itu ditetapkan sehingga 2040 diperkenalkan sejak Julai 2020. 

Katanya, pembangunan itu lebih menguntungkan dan lebih berfokus yang mana dapat meningkatkan nilai tanah berikutan pembangunan infrastruktur. 

“Lagipun, pendekatan baharu ini menetapkan hanya perlukan 50 peratus persetujuan pemilik tanah dan pengambilan tanah boleh dibuat mengikut Akta Pengambilan Tanah Seksyen 31 (b) dan (C). 

“Cadangan pembangunan terdahulu baik tetapi memerlukan RM7 bilion bagi pengambilan tanah dengan persetujuan 100 peratus pemilik tanah tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana hanya 61 peratus pemilik bersetuju,” katanya. – BH Online