Kerajaan Tak Pinggir Kelantan, Terengganu – Mahathir

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan sekarang tidak pernah meminggirkan kedua-dua negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

Dr. Mahathir berkata, kerajaan sekarang berbeza daripada pentadbiran kerajaan yang terdahulu kerana kerajaan sekarang tidak melupakan dua negeri di bawah pentadbiran PAS itu.

“(Kerajaan) tak lupa, kita bagi juga peruntukan kepada Kelantan. Di zaman dia (Barisan Nasional), peruntukan duit daripada royalti petroleum pun dia tak bagi. Kita bagi (royalti).

“Dia (kerajaan terdahulu) hutang orang dia tak bayar, kita kena bayar. Lepas tu dia marah kita kenapa hutang banyak. Dia yang hutang bukan kita hutang,” katanya selepas merasmikan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDC) 2019 dan Ekspo Peranti Perubatan Malaysia (MYMEDEX) 2019 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kononnya ketiadaan peruntukan untuk projek berimpak tinggi di Kelantan dan Terengganu menerusi Belanjawan 2020 sebagai hukuman ke atas rakyat dua negeri itu kerana menolak PH.

Ismail Sabri menyifatkan keadaan itu tidak memenuhi aspirasi pembangunan digariskan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) yang mahukan kesinambungan projek berimpak tinggi.

Dr. Mahathir kemudiannya mengambil contoh perolehan kapal dari China yang memaksa kerajaan sekarang untuk menanggung bebanan hutang kerajaan terdahulu.

“Apabila kita membayar (perolehan kapal), mereka tuduh kita bodoh kerana membeli daripada China,” katanya.

Loading...