Kerajaan Tak Henti Prosiding Terhadap IPIC Di London

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara mengesahkan tiada tindakan untuk memberhentikan prosiding mahkamah di London bagi membatalkan Perjanjian Penyelesaian antara 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang ditandatangani pada 2017.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata kerajaan sentiasa bersifat terbuka untuk menimbang sebarang penyelesaian bagi memastikan aset-aset negara dipulangkan dan pada masa yang sama keadilan ditegakkan.

“Sehubungan itu, perbincangan sentiasa dilakukan antara kedua-dua kerajaan, termasuk sewaktu kerajaan Pakatan Harapan dan juga kerajaan kini.

“Perbincangan ini hanya melibatkan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia dan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tanpa penglibatan mana-mana pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Portal Sarawak Report baru-baru ini mendakwa kerajaan telah menghentikan prosiding mahkamah di London terhadap IPIC dengan 1MDB dan Kementerian Kewangan dikatakan sedang berusaha untuk mengambil tindakan penyelesaian sebagai ganti.

Prosiding mahkamah itu diambil untuk membatalkan Perjanjian Penyelesaian antara 1MDB dengan IPIC yang telah dibuat pada tahun 2017 berhubung kes penyelewengan dana 1MDB. – BERNAMA

Loading...