Kerajaan Suntik RM20 Bilion Rancakkan Ekonomi – Mahathir

KUALA LUMPUR –  Kerajaan hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang ditunjangi tiga strategi utama bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 ketika ini dapat ditangani dengan berkesan.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata tiga strategi tersebut ialah menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti untuk memastikan ekonomi negara berada di landasan yang mampan.

“Selain merangsang pelancongan dan modal insan, pakej ini juga memberi fokus membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan bagi syarikat yang terjejas oleh COVID-19,” katanya dalam ucapan beliau ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi 2020 yang bertemakan “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan”, di sini, hari ini.

Ini merupakan pakej rangsangan berkaitan krisis kesihatan global yang kedua bagi Dr. Mahathir selepas 2003 apabila beliau sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia pada masa itu membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani kesan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) ke atas ekonomi.

Dr. Mahathir berkata untuk membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan syarikat yang terjejas oleh COVID-19, bagi tempoh enam bulan mulai April hingga September 2020, kerajaan telah mencadangkan beberapa tindakan diambil.

Pertamanya, membenarkan penundaan ansuran bulanan cukai pendapatan bagi perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan. Di samping itu, syarikat yang terjejas turut dibenarkan menyemak semula anggaran keuntungan tahun 2020 bagi menentukan ansuran bulanan cukai pendapatan tanpa dikenakan penalti;

Kedua, menyediakan diskaun sementara selama enam bulan sebanyak 15 peratus daripada bil elektrik secara bulanan bagi hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat membeli belah, pusat konvensyen dan pameran.

Ketiga, mengecualikan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi hotel dan syarikat pelancongan manakala yang keempat mengecualikan cukai perkhidmatan bagi hotel. Bagaimanapun inisiatif ini akan bermula lebih awal iaitu pada bulan Mac hingga Ogos 2020.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan menyediakan tabungan pinjaman kewangan kepada syarikat yang terkesan iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan menyediakan Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa berjumlah RM2 bilion, terutamanya pembiayaan modal kerja untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada kadar 3.75 peratus.

Sementara itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) pula akan memperuntukkan RM200 juta kemudahan mikro kredit pada kadar empat peratus manakala proses kelulusan dana sedia ada di Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1.5 bilion akan dipercepatkan.

Dr. Mahathir berkata bagi meningkatkan lagi keyakinan masyarakat perniagaan, kerajaan komited untuk memastikan kesinambungan pelaburan awam dan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan tahun 2020. 

 Sebagai tambahan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan agensi awam akan mempercepatkan projek pelaburan untuk tahun ini, melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM21 billion.

Ia membabitkan pelaburan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebanyak RM3 bilion untuk kerja berkaitan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM13 bilion, termasuk mempercepatkan projek seperti lampu jalan LED, grid transmisi dan pemasangan panel solar bumbung.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) pula akan membuka untuk bidaan jana kuasa tenaga solar 1,400MW, melibatkan pelaburan swasta bernilai RM5 bilion dan menjana pekerjaan untuk 25,000 pekerja.

Sementara itu, katanya, langkah-langkah lain pula adalah mempromosikan pelaburan sektor swasta yang bernilai tambah yang lebih tinggi, antaranya, memperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk Dana Pelaburan Bersama dengan pelabur swasta pada padanan sekurang-kurangnya 1 nisbah 3 yang akan menjadikan keseluruhannya RM2 billion untuk pelaburan di peringkat awal dan awal pertumbuhan.

Untuk rekod, pada tahun 2003, Malaysia pernah mengalami situasi yang sama ketika penularan wabak SARS melanda Asia Timur yang menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara turun daripada 7.1 peratus pada suku ketiga 2002 kepada 4.6 peratus pada suku ketiga 2003.

Namun begitu, susulan pelancaran pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif, kedudukan ekonomi telah mencapai tahap pemulihan yang kukuh kepada 6.5 peratus pada suku keempat 2003.

Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia menjangkakan penularan COVID-19  akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi untuk suku pertama tahun ini.

Selain Malaysia, negara-negara ASEAN lain seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina turut merancang memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi di negara masing-masing bagi menangani kesan penularan COVID-19.

Loading...