Kerajaan Setuju Laksana Dos Ketiga Vaksin

SHAH ALAM – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 dalam usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan pandemik tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut akan dilakukan selepas negara mencapai imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

Beliau berkata, keutamaan pemberian dos ketiga itu akan tertumpu kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan dan pesakit kurang daya tahan imun atau ‘immunocompromised’.

“Ia termasuk warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang (long-term care facilities),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Setakat Sabtu, kadar vaksinasi populasi dewasa negara bagi individu yang memperoleh dua dos vaksin Covid-19 telah mencapai 78.2 peratus, manakala 93.1 peratus mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pemberian dos ketiga itu dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

Jelasnya beliau, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga tersebut.

Beliau berkata kesemua perincian berhubung pelaksanaan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan.

Leave a Reply