Selangor Berhak Sita Rumah Terbiar Gagal Bayar Cukai

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor berhak merampas unit kediaman terbiar sekiranya pemilik rumah itu didapati gagal membayar cukai pintu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata setakat ini terdapat 4,907 kediaman terbiar direkodkan di seluruh daerah di Selangor.

“Daripada jumlah itu, berkemungkinan ada lagi rumah terbiar yang tidak dilaporkan oleh Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri) di kawasan masing-masing.

“Kita berharap Yang Berhormat (Adun) dapat melaporkan mengenai rumah terbiar ini kepada PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) supaya tindakan susulan dapat diambil,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata antara kawasan yang dikenal pasti itu termasuk di daerah Shah Alam sebanyak 1,995 buah, Subang Jaya (568), Petaling Jaya (178) dan Klang (114).

Mengulas lanjut, Ng berkata kerajaan negeri melalui PBT juga akan mengeluarkan notis sekiranya pemilik kediaman terbiar itu gagal membersihkan kawasan kediaman mereka.

“Notis ‘Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan’ akan dikeluarkan kepada pemilik untuk membersihkan kawasan mereka.

“Sekiranya mereka ingkar notis tersebut, kerja pembersihan akan dilaksanakan oleh PBT yang bertujuan untuk mengelak kediaman itu diganggu pihak tertentu dan segala kos yang terlibat akan dituntut daripada pemilik,” katanya. – BERNAMA