Kerajaan Sedia SOP Kemasukan 32,000 Pekerja Asing Ladang Sawit

55
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum menerima 32,000 pekerja asing untuk sektor perladangan sawit di seluruh negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihak majikan pula akan memastikan semua pekerja telah divaksinasi dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh mereka sendiri.

Menurutnya, kerajaan Indonesia juga menyambut baik prosedur yang ditetapkan untuk rakyat negara itu bekerja di sini.

“SOP kemasukan pekerja asing yang bakal dikuatkuasakan itu akan menumpukan kepada pengambilan pekerja asing di sektor perladangan sawit terlebih dahulu.

“Segala kos bagi membawa masuk pekerja asing ini di bawah tanggungjawab majikan bagi setiap kelulusan yang diperoleh.

“Bagi sektor ini juga, pekerja asing dari Indonesia boleh dibawa masuk terlebih dahulu, diikuti dengan negara-negara sumber lain,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, perincian selanjutnya berhubung senarai pusat kuarantin serta mekanisme untuk membawa masuk pekerja asing dari negara sumber akan dikeluarkan oleh kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam masa terdekat.


“Sebarang perubahan SOP adalah tertakluk kepada perbincangan dengan pihak KSM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik kelulusan SOP kemasukan pekerja asing oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Oktober.

Katanya, KPPK berharap dengan keputusan khas yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia ini akan memantapkan lagi hubungan antara dua negara ini melalui kerangka kerjasama sedia ada dengan memperoleh situasi menang-menang demi memajukan lagi industri sawit di peringkat antabangsa. – Utusan Online