Kerajaan Sedia Pertimbang Kompaun Produk Kosmetik Terlarang

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkata pihaknya sedia mempertimbangkan untuk mengenakan kompaun terhadap produk kosmetik yang tidak mematuhi peraturan pada tahun depan.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, antara yang sedang difikirkan adalah kompaun terhadap penggunaan bahan terlarang dalam produk kosmetik di negara ini.

“Kedua, kompaun kepada mereka yang menyiarkan iklan kosmetik yang tidak mematuhi garis panduan. Ketiga, pada pihak yang memasarkan kosmetik mereka yang tidak mematuhi pelabelan.

“Keempat, kompaun dikenakan terhadap pengisytiharan palsu atau false declaration. Itu tindakan pertama kami untuk wartakan langkah mengkompaun pada tahun depan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya mengenai jumlah kompaun yang akan dikenakan, Dzulkefly berkata, pihak kementerian masih belum menetapkan jumlah kompaun yang akan dikenakan.

“Kita sedang pertimbangkan. (Kadar minimum?) Itu kita isytiharkan kemudian,” katanya lagi.

Turut difikirkan wajar, katanya, tindakan menyenaraihitamkan jenama produk tertentu secara spesifik.

“Tindakan itu dibuat supaya produk itu tidak dijual sama ada secara online atau offline di pasaran, supaya pengusaha tidak ulangi kesalahan dulu.

“Kami juga pertimbangkan untuk menekankan amalan pengilangan terbaik (good manufacturing practice). Itu tiga langkah yang akan kami isytiharkan dalam waktu terdekat supaya kita dapat kawal kosmetik ini,” katanya lagi.

Loading...