Sarawak Lulus RM20 Juta Bina, Baik Pulih Rumah Ibadat

KUCHING – Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Jabatan Ketua Menteri telah meluluskan peruntukan RM20 juta pada tahun ini untuk 226 projek bagi pembinaan dan baik pulih rumah ibadat di negeri ini.

UNIFOR, dalam kenyataan diedarkan pada majlis penyerahan cek untuk rumah ibadat berkenaan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, hari ini, menyatakan RM15.87 juta diluluskan bagi fasa pertama pada Mei membabitkan 206 projek yang memberi manfaat kepada pelbagai agama dan anutan di seluruh Sarawak.

Baru-baru ini, sejumlah RM3.57 juta diluluskan bagi fasa kedua membabitkan 20 projek dan hari ini lapan wakil rakyat menerima cek bagi 13 projek diluluskan di kawasan mereka berjumlah RM1.82 juta.

Wakil rakyat berkenaan akan menyerahkan cek itu kepada institusi agama masing-masing di kawasan mereka manakala cek bagi tujuh lagi projek berjumlah RM1.75 juta yang diluluskan di bawah fasa kedua telah diserahkan lebih awal kepada wakil rakyat terbabit.

Menurut kenyataan itu, baki peruntukan sebanyak RM560,000 bagi 2018 adalah untuk projek fasa ketiga dan dijangka diserahkan menjelang akhir bulan ini.

Sementara itu, Uggah dalam ucapannya berkata semua jawatankuasa agama perlu memastikan peruntukan itu digunakan dengan bijak.

Beliau berkata wakil rakyat perlu membantu UNIFOR dalam memantau projek berkenaan bagi memastikan ia dilaksanakan dengan jayanya.

“Staf UNIFOR juga akan turun padang untuk melakukan pengauditan bagi memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut perancangan,” katanya. – BERNAMA

Loading...