Kerajaan PH Tidak Mampu Capai Sasaran Defisit

PETALING JAYA – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu mencapai sasaran defisit bajet tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bercakap kepada FMT mengenai harapannya untuk Belajawan 2020, katanya, kerajaan PH masih gagal memenuhi jurang pendapatan akibat menukar cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Perubahan itu mengakibatkan kutipan cukai kerajaan berkurangan kira-kira RM21 bilion setiap tahun.

“Walaupun kerajaan memperkenalkan sejumlah cukai baru, ia masih tidak mencukupi.”

Cukai baru itu termasuk cukai gula bagi minuman ringan, levi pelepasan, cukai digital enam peratus yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan serta lanjutan cukai keuntungan hartanah yang belum ditentukan.

Lembaga Hasil Dalam Negeri akan menyasarkan lebih ramai pembayar cukai individu, termasuk mereka yang menjalankan perniagaan atas talian berskala kecil dari rumah, blogger dan juga personaliti internet, untuk meningkatkan kutipan cukai dan mencapai sasaran lebih tinggi.

Katanya, sejumlah audit cukai juga boleh dijangkakan.

“Untuk memburukkan keadaan, kerajaan terus meminjam wang pada tahap membimbangkan walaupun sudah mengambil RM82 bilion daripada Petronas dan menjual banyak aset yang mencecah berpuluh juta.”

Jadi, katanya, beliau tidak nampak bagaimana kerajaan boleh mencapai sasaran defisitnya berjumlah tiga peratus KDNK.

Beliau menjangkakan Putrajaya akan kembali terlalu bergantung kepada hasil minyak, selepas kutipan cukainya berkurangan.

“Jika kita kembali untuk terlalu bergantung kepada hasil minyak, jika ada kejatuhan harga minyak secara mendadak, kerajaan akan bergelut dan seterusnya menyebabkan rakyat bergelut.”

Najib berkata, kerajaan terdahulu pimpinannya cuba mengurangkan kebergantungan negara terhadap hasil minyak yang menyebabkan angkanya jatuh daripada 48 peratus kepada 12 peratus antara 2008 dan 2017.

Tahun lalu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan terlalu bergantung kepada wang Petronas yang akan menjejaskan penarafan kredit syarikat minyak negara itu.

Pada 2020, katanya, kerajaan mungkin lebih bergantung kepada dividen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang menurutnya akan menjejaskan pengendalian entiti itu dan penjualan lebih banyak aset kerajaan. – FMT

Loading...