“Kerajaan PH Tidak Henti Cari Jalan ‘Hapuskan’ Saya”

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan tidak berhenti mencari jalan untuk ‘menghapuskan’ beliau.

Dalam satu hantaran di Facebook Najib mengimbas semula insiden yang berlaku terhadap beliau dan keluarga pada hari pertama Ramadan selepas Pakatan Harapan diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui Kerajaan Persekutuan.

“Setahun yang lalu, hari pertama Ramadan. Berlarutan hingga sahur mereka ganggu di rumah saya. Di rumah bonda juga.

“Detik bermulanya petanda bahawa tiada nilai kemanusiaan kerajaan PH hari ini. Setahun kini telah berlalu. Kerajaan PH tidak henti mencari jalan menghapuskan saya,” tulis Najib.

Dalam hantaran itu, Najib berkata, rakyat boleh membuat pertimbangan dengan membaca Facebook dan media sosial beliau.

Menurut Najib, walaupun diberi tekanan beliau akan terus berjuang untuk rakyat.

Ini kerana menurut Najib, rakyat akan sentiasa didahulukan dan sangat dekat di hati beliau.

“Saya balas dengan fakta dan pengalaman. Saya menyoal kerajaan hari ini sampai ada yang membisu tidak berani membalas.

“Apa pun, saya hanya ingin berjuang untuk rakyat dan saya akan terus berbuat demikian. Ditekan macam mana pun saya, rakyat didahulukan dan tetap di hati,” kata Najib.

Loading...