Kerajaan PH Tidak Adil Kepada Negeri Pengeluar Minyak

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak adil kepada negeri-negeri pengeluar minyak apabila isu bayaran royalti langsung tidak disentuh pada pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu.

Menurut Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datok, sedangkan ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu mereka berjanji untuk meningkatkan royalti minyak kepada negeri terlibat termasuk Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau mempersoal Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengapa isu royalti minyak tidak dimasukkan di dalam Belanjawan 2020 itu.

“Adalah sesuatu yang tidak adil kepada negeri yang menjadi pengeluar minyak jika kerajaan hanya pandai mengambil hasil minyak tetapi gagal memberikan pulangan semula kepada negeri terbabit.

“Jika kerajaan perlu meminda Akta Pembangunan Petroleum atau PDA 1974 maka mereka perlulah melakukannya (pinda akta) kerana ianya telah dijanjikan (dalam manifesto).

“Saya amat bersimpati kepada negeri-negeri terlibat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, Zahid ketika sesi perbahasan mewakili parti yang diterajuinya berkata, kerajaan juga dilihat cuba memperbodohkan rakyat apabila belanjawan yang dibentangkan itu tidak sampai kepada golongan sasar.

Sebagai contoh katanya, isu kos sara hidup yang begitu memberi tekanan kepada rakyat berpendapatan rendah tidak diberikan perhatian oleh kerajaan.

“Setiap kali belanjawan, apa yang dinanti rakyat adalah inisiatif untuk golongan miskin atau B40 tetapi belanjawan tahun ini langsung tidak mementingkan mereka,” katanya. – Sinar Harian

Loading...