Kerajaan Pertimbang Jual Saham Petronas – Mahathir

23

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menjual saham dalam Petronas kepada negeri-negeri yang mempunyai loji syarikat minyak dan gas itu berada, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelas beliau, cadangan itu dibuat dalam usaha mencari dana bagi kerajaan yang kini dibebani oleh hutang yang tinggi.

Langkah sedemikian boleh memberi peluang kepada negeri seperti Sabah dan Sarawak kuasa dalam pengurusan Petronas yang merupakan pengeksport gas asli cecair ketiga terbesar di dunia.

“Ia dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, terpulang kepada kerajaan untuk menjual saham secara peribadi dan bukan dalam pasaran kepada negeri seperti Sabah dan Sarawak.

“Petronas adalah sebuah syarikat besar, ia juga bergantung kepada berapa banyak (negeri-negeri itu) mampu bayar,” kata dalam satu temu ramah bersama Reuters di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan juga boleh menjual saham dalam unit kecil Petronas yang disenaraikan dan tidak disenaraikan.

“Apa yang kami perlu adalah mengurangkan penglibatan dan jumlah pegangan saham bagi menjana dana untuk kerajaan,” katanya.


Dalam pada itu, Sabah dan Sarawak mempunyai rizab minyak dan gas yang paling produktif di Laut China Selatan.

Permintaan mereka untuk meningkatkan royalti boleh menyebabkan Petronas membayar sehingga AS$7 bilion (RM29.15 bilion) setahun.

Petronas atau Petroliam Nasional Bhd. merupakan penjana wang utama untuk kerajaan persekutuan.

Unit saham tersenarai utama syarikat itu adalah pembuat petrokimia, Petronas Chemicals Group, Petronas Dagangan dan infrastruktur gas dan utiliti, Petronas Gas manakala Petronas Carigali adalah unit penerokaannya. – Sinar Harian