Kerajaan Perlu Komitmen Turunkan Harga Makanan – Daim

KUALA LUMPUR – Penasihat Ekonomi kepada Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berharap dapat menyaksikan komitmen baharu oleh kerajaan untuk menurunkan harga makanan pada tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan perlu menangani punca utama kepada masalah itu dahulu iaitu ketidakupayaan sektor pertanian negara untuk memenuhi permintaan domestik.

Katanya, langkah sedemikian akan membantu mengurangkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap isu kos sara hidup.

Menyatakan akses kepada tanah dan pembiayaan sebagai antara punca utama, Daim cadangkan kepada kerajaan supaya mempunyai agensi khas hanya untuk menangani isu ini, pastikan tanah mudah didapati dan mempunyai dana khas untuk ini.

“Birokrasi kementerian dan agensi perlu dikurangkan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian dan mewujudkan cara yang lebih mudah untuk menjalankan perniagaan.

“Perlu ada kecekapan dan kita memerlukan orang yang mempunyai integriti untuk menjalankan semua agensi ini,” katanya pada Kuliah Tunku Abdul Rahman ke-29 di sini semalam.

Beliau berkata, dengan komitmen kerajaan dan kesediaan rakyat untuk memberi tumpuan kepada sektor pertanian, negara dapat mengurangkan jumlah import makanan agro, yang melebihi RM52 bilion pada tahun lepas, dalam tempoh tiga tahun.

Selain itu katanya, dengan memberi penekanan kepada sektor pertanian, ia akan mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan pendapatan dalam sektor ini.

“Akhirnya, apa yang penting ialah kita mempunyai kehidupan yang sihat, kos sara hidup turun, produktiviti meningkat dan pendapatan naik. Jadi, semua orang gembira,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan, Daim berkata sektor pertanian mempunyai kawalan untuk memperbaiki ekonomi negara dan menyelamatkan alam sekitar, serta membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat.

Beliau berkata, pertanian moden dan khusus meningkatkan hasil dan memberi pendapatan yang lebih tinggi kepada petani, dan dalam jangka masa panjang, jika diurus dengan betul, akan mewujudkan kekayaan dari satu generasi ke generasi lain.

“Selain petani sendiri, sektor pertanian moden akan mewujudkan peluang pekerjaan dalam rantaian bekalan,” katanya, sambil menambah ini termasuk penyedia logistik, penyelidik, penganalisis, pengeluar dron, juruteknik makanan, pakar pemakanan, pakar ekologi dan doktor haiwan.

“Kita boleh mula menamatkan pendapatan tidak menentu yang disediakan oleh ekonomi gig dan memberi kepada golongan belia kita peluang kerjaya jangka panjang yang sebenar,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan perlu memudahkan petani untuk mendapat dan memahami maklumat berkaitan industri mereka, termasuk data mengenai kualiti tanah, corak cuaca, tanaman yang sesuai, harga pasaran dan kos input pertanian.

“Bagaimana mereka menggunakan data itu terpulang kepada mereka, tetapi akses kepada data tidak boleh terhad kepada kumpulan tertentu,” katanya.

Selain maklumat, katanya petani juga perlu diberikan akses pasaran yang lebih baik.

“Ini bermakna tidak banyak langkah dalam rantaian bekalan, sekali gus meningkatkan keuntungan yang diterima oleh petani dan nelayan serta mengurangkan kos akhir yang dibayar oleh pengguna,” katanya.

Beliau berkata, ini dapat dicapai melalui teknologi seperti platform digital atau e-dagang yang dapat memastikan petani mempunyai banyak pilihan seperti kepada siapa mereka menjual hasil mereka dan justeru itu, lebih banyak sokongan.

“Mereka boleh mengetahui harga jualan asas bagi hasil dan mengetahui mengenai pemborong lain yang sanggup membayar.

“Ia (platform digital) memberi analisis data yang membantu petani memahami mengenai trend harga, memperkasakan mereka dengan pengetahuan dan mendapat harga yang berpatutan untuk produk mereka,” katanya.

Beliau berkata teknologi meningkatkan akses kepada sumber, mengurangkan ‘gatekeeper’ yang ingin meraih keuntungan kewangan yang berlebihan, merapatkan ketaksamaan dan membasmi rasuah.

“Teknologi boleh membuat banyak langkah dalam rantaian bekalan lebih telus. Ia boleh membuka akses kepada peluang, membolehkan semua orang, tanpa mengira usia, jantina, agama atau etnik untuk berjaya,” katanya.

Daim berkata, pertanian juga mempunyai peranan untuk mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar.

“Kebanyakan aktiviti pertanian dan akuakultur terdapat di kawasan luar bandar, dan jika ekonomi luar bandar membangun, begitu juga infrastruktur mereka.

“Pendapatan penduduk luar bandar akan meningkat dan penghijrahan luar bandar ke bandar akan berkurangan berikutan ramai yang dapat menjalani kehidupan yang baik luar daripada bandar utama. Ini, sekali gus akan mengurangkan tekanan kesesakan di kawasan bandar,” katanya.

Siri kuliah itu menjadi platform untuk menggalakkan interaksi dan strategi ke arah kemahiran kepimpinan abad ke-21.

Ia bertujuan mengetengahkan beberapa pemimpin yang berpandangan ke hadapan dari seluruh dunia, berkongsi pandangan mengenai cabaran dan isu mengenai ekonomi dan masyarakat yang dinamik dan global.

Loading...