Kerajaan Patut Beri Saringan Percuma Covid-19 – Najib

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat kerajaan sepatutnya memberi saringan percuma secara besar-besaran kepada rakyat Malaysia.

Ini kerana beliau percaya, kos untuk memberi saringan percuma kepada individu yang mahu diuji memberi ‘pulangan’ jauh lebih besar berbanding langkah-langkah lain yang diambil kerajaan.

“Saya juga percaya bahawa melaksanakan saringan besar-besaran adalah antara langkah paling efektif untuk melawan (koronavirus) Covid-19.

“Kerajaan kata jumlah kos untuk melaksanakan setiap saringan adalah sekitar RM700 seorang.

“Ini bermakna jumlah kos untuk melaksanakan 15,196 saringan setakat ini ialah sekitar RM10.6 juta.

“Katakanlah kita berjaya menurunkan kos saringan ke RM500 seorang, jumlah kos membuat saringan untuk sejuta rakyat adalah RM500 juta,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah RM1.4 trilion tahun lepas atau sekitar RM3.8 bilion sehari.

“Sebab itu, apakah kos RM500 juta berbanding pulangan yang diperoleh jika kita mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara kita?

“Lagipun, kos setiap saringan Covid-19 sedang menurun pada ketika ini kerana semakin banyak syarikat dalam dunia sedang memperkenalkan kit ujian Covid-19 yang semakin mudah diguna dan semakin murah,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Korea yang mempunyai penduduk seramai 51 juta orang telah berjaya mengawal kenaikan kes Covid-19 tanpa melaksanakan perintah berkurung atau kawalan pergerakan yang ketat.

Menurutnya, negara itu mengambil langkah untuk memberi saringan percuma kepada sesiapa sahaja yang mahu diuji dan sudah membuat lebih 300,000 saringan berbanding 15,196 saringan di Malaysia.

“Saya tetap berpendapat bahawa saringan percuma secara besar-besaran patut dijadikan prioriti utama kerajaan Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan supaya berusaha untuk mengurangkan kos saringan serta masa untuk membuat setiap saringan dan meningkatkan kapasiti untuk membuat saringan dan memudahkan cara rakyat mendapat saringan.

Menurutnya, kerajaan boleh berpakat dengan rangkaian syarikat perubatan swasta untuk bersama-sama memberi saringan percuma tanpa syarat kepada setiap orang di Malaysia termasuk warga asing di negara ini.

Selain itu, kerajaan juga perlu memberi jaminan bahawa sesiapa yang dikehendaki kuarantin diri secara mandatori di rumah sendiri atau di pusat kuarantin kerajaan selepas diuji akan dibantu dari segi kewangan dan bekalan makanan serta barangan keperluan dalam tempoh tersebut.

”Sesiapa yang melanggar tempoh kuarantin ini akan dipenjarakan,” katanya. – Sinar Harian

Loading...