Kerajaan Lulus Bantuan Sara Hidup Felcra

KUALA LUMPUR – Seramai 17,161 orang peserta Felcra Berhad (Felcra) dalam kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) boleh menarik nafas lega apabila kerajaan baru-baru ini telah meluluskan dan menyalurkan pembiayaan bantuan sara hidup kepada mereka berjumlah RM73,476,246.

Sehubungan itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohd. Nazrul Izam Mansor, pihak pengurusan Felcra akan membuat bayaran Bantuan Sara Hidup berjumlah RM44,399,970.05 iaitu bagi tempoh Ogos 2018 hingga Mei 2019.

“Kerajaan sangat prihatin akan nasib peserta Felcra dalam kalangan B40 ini dan untuk itu telah meluluskan bayaran bantuan sara hidup ini terutama ketika peserta berhadapan dengan situasi tanam semula sahaja, kerana di dalam tempoh ini ladang-ladang mereka masih belum mengeluarkan hasil.

“Tempoh bayaran pendahuluan ini diberikan adalah selama empat tahun bagi tanaman sawit dan enam tahun bagi getah iaitu sehingga ladang-ladang berkenaan berhasil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bantuan Sara Hidup Felcra merupakan skim pendahuluan kewangan kepada peserta-peserta yang terlibat dengan tanam semula dan bantuan yang diberikan adalah pada kadar RM70 seekar.

Sementara itu, tambah Mohd. Nazrul Izam, pihak ahli lembaga pengarah, pengurusan dan seluruh warga peserta Felcra menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang prihatin membela nasib peserta Felcra khususnya dalam kalangan B40.

“Jutaan terima kasih turut dirakamkan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Kewangan serta semua pegawai yang terlibat secara langsung di dalam memudahkan penyaluran segera bayaran sara hidup ini.

“Sesungguhnya, komitmen padu daripada kerajaan ini telah memberi ruang kepada warga peserta menambah kegembiraan dan kesyukuran sempena menyambut Syawal yang mulia ini,” katanya.