Kerajaan Kenakan Syarat Baharu Kepada Grab Di Saat Akhir

KUALA LUMPUR – Pengendali e-hailing, Grab terkejut dengan pelaksanaan dua syarat baharu yang dikenakan kepada pemandu-pemandunya berkuatkuasa Sabtu ini.

Dua syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) adalah salinan bercetak permit e-hailing (EVP) dan menukar kod kenderaan kepada AH atau e-hailing persendirian.

Pada Mei lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemandu e-hailing diberi kelonggaran untuk tidak menukar kategori kenderaan mereka daripada kenderaan persendirian individu kepada kenderaan e-hailing persendirian (AH).

Sebelum itu, mereka diwajibkan menukar kod berkenaan kepada AH di JPJ sebagai salah satu syarat yang ditetapkan kepada pemandu e-hailing.

Bagaimanapun, syarat tersebut ditarik semula susulan perbincangan di antara kementerian dan JPJ, kata Anthony.

“Kami terkejut dengan perubahan secara tiba-tiba ini apatah lagi kami hanya mempunyai beberapa hari sahaja sebelum tiba hari pelaksanaan kesemua syarat baharu tersebut.

“Sementara kami berunding dengan pihak berkenaan, kami menggesa anda semua melakukan apa yang sepatutnya bagi memenuhi syarat berkenaan sebelum 12 Oktober ini,” kata Grab dalam satu pesanan kepada para pemandunya yang disiarkan di laman web syarikat.

Bermula Ahad ini, kenderaan-kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan e-hailing diwajibkan memiliki lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV), insurans penumpang, pelekat e-hailing dan permit kenderaan e-hailing (EVP) daripada APAD. – MalaysiaGazette

Loading...